Tuesday, March 24, 2020

Pembelajaran secara online

Bila berlakunya 'lockdown' semasa PKP @ MCO ni, tempoh 2 minggu yang merentasi 1 dan 1/2 minggu persekolahan mengakibatkan para pelajar yang akan mengambil peperiksaan penting (UPSR, PT3 & SPM) tertinggal silibus.

Nak belajar dalam kelas @ dewan, sekolah diarahkan tutup.

Solusi mudah, pembelajaran dalam talian. Cari apps yang mudah/cepat diinstall, capaian internet yang kuat & dapat menghubungkan ramai orang dalam 1 masa.


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10159661509824498&id=590894497

Seorang rakan FB saya yang merupakan guru Kimia berkongsi cara dia melakukan pembelajaran dalam talian dengan murid-muridnya. Berkongsi nota dan slaid serta melihat sendiri kehadiran muridnya dalam talian.

Tapi,
Ia hanya sesuai jika capaian internet sangat baik & murid juga mempunyai capaian internet di rumah mereka.

Saya hanya berkongi, kerana capaian internet di kampung mak ayah saya sangat lemah 🤣

#PKP
#MCO
#ZuhairZainol
#PG054189
#pdpconline
#chemistry
#kimia

Sunday, February 9, 2020

Lompat Tinggi & Sejarahnya

SEJARAH LOMPAT TINGGI

Acara Lompat Tinggi adalah salah satu daripada acara olahraga yang diminati dan sentiasa mendapat perhatian ramai.

Lompat Tinggi mula diperkenalkan dalam tahun 1887 dan dalam tahun 1896 acara Lompat Tinggi telah diperkenalkan dalam sukan Olimpik.

Acara ini menjadi perhatian ramai kerana pelbagai gaya lompatan digunakan oleh para atlit.

Terdapat beberapa gaya dalam acara Lompat Tinggi seperti berikut :-
     i)        Gaya Gunting (Scissors)
    ii)        Gaya Eastern Cut-off
   iii)        Gaya Guling Barat (Western Roll)
   iv)        Gaya Guling Pelana (Straddle)
    v)        Gaya Fosbury Flop

Dalam gaya-gaya di atas, gaya guling (straddle) dan gaya fosbury flop telah diperkenalkan bagi mendapatkan lompatan yang tinggi.

SEJARAH

Catatan terawal tentang lompat tinggi ialah pada abad ke-19 apabila satu pertandingan diadakan bagi menentukan siapa antara segolongan profesional di England yang mampu melompat paling tinggi.

Dalam pertandingan yang diadakan pada tahun 1861, seorang berbangsa Scotland, William Tivendale berjaya melompat setinggi 1.83 meter.

Lompatan yang dibuat oleh peserta itu merupakan yang paling tinggi bukan sahaja dibandingkan di kalangan peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu malah ketika itu belum pernah ada orang lain yang melompat setinggi itu.

Bagaimanapun cara lompatan yang dilakukan pada masa itu jauh berbeza dengan lompatan yang dilakukan oleh atlit pada masa sekarang.

Palang yang digunakan hanyalah seutas tali yang diikat pada dua batang kayu yang dipacak pada tanah.

Cara membuat lompatan ialah dengan merapatkan kedua-dua kaki sambil badan melompat pada kedudukan statik atau menegak, menjadikan peserta seakan-akan melompat pada kedudukan berdiri dan menegak.

Kemudiannya beberapa cara dan kaedah lompatan dicipta dan diperbaiki dari semasa ke semasa, yang berdasarkan kepada peraturan dan undang-undang yang turut berubah serta keadaan-keadaan tertentu.

Contohnya pada suatu ketika pelompat tidak dibenarkan menyentuh tanah dengan tangan sebelum kaki mendarat dan begitu juga kepala pelompat tidak boleh melepasi palang sebelum kaki melepasi palang.

Peningkatan lompatan yang mampu ditunjukkan oleh para peserta menyebabkan tempat mendarat terpaksa diletakkan dengan tilam atau alas tebal yang lembut.  Sebelumnya hanya pasir digunakan. 

Kini lompat tinggi merupakan salah satu acara bahagian padang dalam sukan olahraga yang terus dijadikan acara dalam setiap perjumpaan olahraga di pelbagai peringkat. 

Pada peringkat awal Sukan Olimpik, gaya yang digunakan ialah gaya statik dengan lompatan menegak.

Gaya pelana mula digunakan oleh peserta-peserta Eropah, manakala gaya lentang diperkenalkan oleh peserta Amerika Syarikat dan menjadi teknik lompatan paling diminati khususnya di kalangan pelompat tinggi Amerika ketika itu.

Gaya gunting yang kebanyakan digunakan oleh peserta lompat tinggi Asia mula diperkenalkan pada tahun-tahun suku pertama abad ke-20.

Dalam membincangkan acara lompat tinggi ini, satu nama yang tidak harus dilupakan ialah Dick Fosbury iaitu seorang pelompat tinggi dari Amerika Syarikat yang bertanggungjawab bukan sahaja memperkenalkan teknik lompatan terbarunya malah telah bertanggungjawab mempopularkan acara ini dalam Sukan Olimpik tahun 1968 di Mexico.

Peristiwa ini begitu penting sehinggakan IAAF terus bersetuju menamakan teknik lompatan yang diperkenalkan oleh beliau sebagai lompatan Fosbury atau Fosbury Flop.

Sebelum gaya flop diperkenalkan terdapat satu gaya yang dikenali sebagai gaya guling pelana (Stradle) telah diperkenalkan oleh Jim Stewart dari Universiti of Southern California dalam Kejohanan National College dalam tahun 1930.

Tetapi yang mempopularkan gaya ini ialah Les Steers dari Oregon. Dengan ketinggiannya 6 kaki 1.5 inci beliau telah berjaya melepasi dan melompat setinggi 6 kaki 11 inci.

Namun begitu orang yang pertama berjaya melepasi 7 kaki dalam dunia ialah  Charles Dumas dari Amerika dalam Kejohanan Olimpik 1956 dengan lompatan setinggi 7 kaki 0.3 inci.

Saturday, October 5, 2019

Kelas belakang

1 aliran 4 kelas. Aku mengajar kelas paling depan dan paling belakang.

Nampak ketara perbezaan mereka. Kelas depan lebih bersungguh belajar, menyiapkan kerja, kurang bermain-main dan menghormati guru.

Kelas belakang pula belajar main-main, malas menyiapkan kerja dan tidak menghormati guru.

Terlalu bersungguh-sungguh marah atau terasa hati, kelak memakan diri. Guru akan diserang penyakit jantung dan darah tinggi.

Jalan selamat; ajar mereka yang mahu belajar, iaitu murid yang ada buku, mahu menulis dan rajin. Abaikan mereka yang malas, asalkan tidak mengganggu murid yang mahu belajar.


Monday, September 30, 2019

Keadilan VS Sama Rata

Adil dan sama rata, itu berbeza.
Mungkin seakan sama tapi tak serupa.

Berlaku adil itu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Antonimnya ialah zalim.
Sama rata itu sama, dan rata. Sama tugasan, tanggungjawab dan pemberian.

Walhal, pemberian RM100 kepada anak yang berbeza umur, ialah sama rata. Tetapi tidak adil. Kerana keperluan mereka berbeza.

Guru yang mengajar Tahap 1, Setiausaha dan Ketua Panitia, mereka ada bidang tugas dan tanggungjawab tersendiri. Tidak adil jika diwajibkan semua guru hadir taklimat atau mesyuarat jika ia hanya untuk segolongan atau segelintir guru sahaja.

Ia sama rata tapi, tidak adil.


Monday, August 6, 2018

Tuesday, July 1, 2014

Pencerapan oleh pegawai SPI, JPN Perlis

Minggu ni agak sibuk; menyiapkan fail RPH kerana akan dicerap kali ke-2 oleh pegawai dari Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis. Sudah ku pesan; beritahu awal 2 hari sebelum hari dicerap.

Tapi salah aku juga. Bertangguh dalam menyiapkan item yang perlu. Sekarang dah berserabut. Moga segalanya dipermudahkan.

Tuesday, September 24, 2013

Sketsa Guru dan Murid (SGM)

Pororo vs Keroro Gunso ; mana lebih comel?

Pelajar A : ustaz, lukis Pororo.
Aku : Keroro? (sambil berfikir, eh, Keroro mana comel..)

Kebetulan petang itu aku sedang melayari internet di sekolah. Aku bertanya pak cik Google berkaitan imej Keroro. Aku tunjukkannya kepada pelajar A.

Pelajar A : bukan Keroro. Pororo. Po-ro-ro.
Aku : Po-ro-ro? (sambil berfikir, x pernah dengar pun..)

Aku bertanya pak cik Google lagi. Jawapan yang diberikan tidak mengecewakan. Imej yang dipaparkan, aku tunjukkan kepada pelajar A.

Pelajar A : yang ni la ustaz..
Aku : .. (memandang imej jawapan Pororo yang diberikan oleh pak cik Google. comel atau x comel?..)

Pelajar A : ustaz lukis la. dalam buku ni.
Aku : .. (aku hanyalah guru. Bukan pelukis. Jauh lagi seniman. Kenapa aku???)

Selepas berakhirnya cuti pertengahan tahun 2013, buku diminta semula oleh pemiliknya, pelajar A. Datang ditemani oleh pelajar R.

Pelajar R : ustaz tekap ka?
Aku : x main la tekap-tekap ni. Lukisan ori.

Sebelum berakhirnya waktu persekolahan, tiba waktu Tilawah al-Quran dengan kelas pelajar A.

Pelajar N : betul ka ustaz lukis Pororo kat A?
Aku : a'ah. Awat?
Pelajar N : A dok tunjuk 1 kelas. Dia habaq ustaz yang lukis.

Pelajar A datang.

Pelajar A : ustaz, buat la komik.
Aku : komik???
Pelajar N : betul ustaz. Ustaz buat la komik Pororo.
Aku : kamu ingat senang ka nak buat komik?
Pelajar A dan N : ala. Ustaz buat la komik. Buat komik Pororo.

Eh, ingat senang ka nak buat komik? Kena buat komik yang ada watak comel. Mana best komik ciplak watak. Xda keaslian..

Ingatkan Keroro Gunso. Tapi Pororo comel sikit. Pororo penguin kan? Keroro Gunso pula makhluk asing katak, dari Jepun.

Tapi pertama kali dengar kartun Pororo. Baru ku sedar, dah lama tidak menonton TV, terutama bila menginap di Perlis. Sebab bilik sewa tidak mempunyai TV!

Apa pun, Pororo lebih comel dari Keroro. Tapi Keroro confirm menang sebab mempunyai pelbagai jenis senjata..haha

Sunday, August 7, 2011

Kenali GB dan PK 1 yang baru

Saya bagi kredit lagi untuk GB dan PK 1. Sebab mereka orang atasan dan merupakan tulang belakang bagi kejayaan dan kecemerlangan pengurusan dan pentadbiran sesebuah sekolah.

GB - Apa kata murid?

Sempat menegur 2 murid perempuan yang menemani GB mereka ke sekolah ini, saya bertanya, “Betul ke Guru Besar ni baik?”. Dijawab oleh salah seorang dari mereka, “Betul”. Saya melanjutkan soalan, ”Dia tak pernah marah, waktu perhimpunan ke..”. “Tak pernah,” jawab dia lagi.

GB - Apa kata cikgu?

Pada 26 Julai, sehari selepas majlis menyambut GB diadakan, saya bertemu dengan PK 1 SK Dato’ Wan Ahmad di pejabat pos Kangar ketika saya ingin memperbaharui lesen memandu saya. Dia yang terlebih dahulu menegur saya kerana pada majlis menyambut GB, saya ditugaskan membaca doa selamat.

Dia memberitahu, Puan Aziza memang baik dan mereka (guru dan staff SK Dato’ Wan Ahmad) sangat sayang untuk melepaskan dia. Jadi, dia berpesan agar kami di SKKS dapat bekerjasama dengan Puan Aziza.

Pandangan peribadi

Minggu terakhir sebelum bermulanya puasa, diadakan perjumpaan guru bertempat di bilik mesyuarat. Mendengar ucapannya, dapat difahami bahawa memang GB baru ni baik dan lembut tetapi dia tegas. Ketegasannya dalam mengikut peraturan yang ditetapkan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis seperti mencerap pengajaran guru dan perlu punch atau key in masa sebelum pulang dari sekolah.

PK 1

Manakala bagi PK 1, hanya dia seorang yang datang ke sekolah tanpa sebarang majlis ‘send off’. Oleh itu, saya tak sempat mengambil pandangan orang lain mengenai beliau.
Tetapi pada minggu terakhir sebelum puasa, saya selalu makan tengah hari di Restoran Sarang Burung milik bekas GB. Malah, dia sendiri mengatakan kami di SKKS bertuah kerana mendapat GB dan PK 1 yang baik.

Setelah 2 minggu PK 1 di SKKS, saya selalu melihat beliau berbual-bual di bilik guru. Seolahnya beliau meniru perlakuan PK Ko-ku yang selalu ke bilik guru. Apabila bertembung dengan beliau, beliau mudah tersenyum.

Malahan, ketika saya mengendalikan tilawah Quran bagi kumpulan saya dari kelas 4 Amanah di surau, beliau datang melawat. Saya ketika itu sedang melatih seorang pelajar laki yang agak lembap membaca surah al-Qariah. Beliau terus mengambil alih kumpulan saya dan mendengar bacaan mereka seterusnya memperbetulkan bacaan mereka.

Mungkin betul kata-kata guru di SKKS. Bertuah saya dapat mengajar di sini. Tiada kelompok guru atau kumpulan-kumpulan tertentu. Lagi bertuah apabila mendapat GB dan barisan PK yang baik walaupun agak tegas.

p.s: kena mengajar di sini agak lama..hehe

Saturday, July 30, 2011

Thursday, July 28, 2011

Ahlan ya Ramadhan!



Bulan Sya’ban semakin menghampiri penghujung. Bulan Ramadhan hanya menunggu masa. Bersediakah kita untuk menahan lapar dan dahaga di siang hari dan berterawih pada malamnya? Saya sendiri tak sempat berpuasa sunat pada bulan Sya’ban ini.

Bagi yang belum habis mengqadha’kan puasa Ramadhan tahun lepas, diharapkan agar sempat menghabiskannya, supaya tidak perlu membayar fidyah. Tetapi peringatan ini hanya untuk kaum wanita, kerana lelaki selalunya berpuasa penuh..

Niat puasa esok hari dan sepanjang Ramadhan

Supaya tidak terlupa untuk berniat puasa pada malamnya, sebaiknya kita turut berniat untuk terus berpuasa sepanjang Ramadhan. Tapi cara ini mengikut mazhab Hanafi. Pada malam pertama Ramadhan, kita berniat puasa esok hari dan juga sepanjang Ramadhan.

Niat puasa esok hari mengikut mazhab Syafi’e. Berniat puasa sepanjang Ramadhan pula mengikut mazhab Hanafi pula supaya tiada sesiapa yang terus berbuka andai terlupa niat puasa esok hari. Walaupun terlupa niat, puasa wajib diteruskan.





Saya sertakan niat puasa sehari dan juga niat puasa untuk sebulan Ramadhan.

p.s: selamat berpuasa..moga puasa tahun ni lebih baik dari tahun-tahun lepas..

Sunday, July 24, 2011

Cabaran perguruan masa kini

Selari dengan perubahan masa, zaman kini juga memberikan cabaran tersendiri kepada pada pendidik dalam mendidik anak bangsa.

Cabaran 1; pengetahuan dan maklumat semasa

Mendidik anak bangsa pada alaf baru di mana dunia tiada sempadan dan maklumat di hujung jari, para guru perlu lebih maju ke hadapan dalam mengetahui isu-isu semasa dan maklumat terkini.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran (P & P) perlu diubah dan mesti menarik minat anak murid. Tidak perlu static dan hanya guru bercakap tanpa penglibatan murid. Kaedah ini akan cepat membosankan mereka.

Mereka yang suka bermain dan aktif bergerak pastinya bosan dengan kaedah pengajaran yang berpusatkan guru semata dan memerlukan mereka diam sepanjang masa di dalam kelas.

Kadang-kadang terdapat juga anak murid yang akan bertanya pelbagai perkara kepada para guru. Guru perlu bijak menjawab atau mengubah topic yang disoal kepada topic lain jika ia kurang sesuai untuk dibincangkan dengan mereka.

p.s: murid tahun 1 pun dah bijak. Tahu pasal kahwin..

Sunday, July 4, 2010

Kesabaran ku teruji..

Menjadi guru kelas memang menguji kesabaran saya. Kelas lelaki paling tercorot bagi tingkatan tersebut. Mempunyai bilangan pelajar paling sedikit dalam sebuah kelas agak memudahkan kerja tapi cop sebagai kelas paling tercorot mendatangkan masalah.

Terpahat dalam minda para guru, betapa kelas ni hanya mempunyai pelajar paling bodoh. Oleh itu, tak perlu bersungguh-sungguh mengajar mereka. Hanya ikut jadual mengajar, masuk kelas dan beri latihan. Jangan mengharapkan tumpuan dan kesungguhan dari mereka.

Dalam minda para pelajar pula, menganggap bahawa mereka memang sudah bodoh. Sampai bila-bila. Tak mungkin mereka akan bertukar ke kelas pandai atau sederhana pandai. Apabila minda sudah tertanam dengan pemikiran negatif sebegini, memang sukar diubah.

Saya ingin menaikkan motivasi mereka untuk belajar. Masalah ini secara tak langsung menguji pengalaman saya sebagai fasilitator program motivasi dan seorang guru.

p.s: Tambahkan ilmu motivasi dan psikologi???

Wednesday, April 28, 2010

Pelajar dan Pengajar

Sekarang saya adalah salah seorang tenaga pengajar di sebuah Sekolah Menengah Agama di Kedah. Syukur pada-Nya, permohonan untuk menjadi guru sementara di sekolah tersebut diterima, kerana kebetulan seorang guru di SMA tersebut akan menyambung pengajiannya di Mesir bulan Mei ini.

Menjadi guru tidak pernah terlintas di benak fikiran saya kerana ia bukan impian saya. Namun, mungkin ia boleh menjadi batu loncatan untuk saya mencapai impian saya yang lain dan satu langkah untuk memperbaiki diri saya.

Bergelar pelajar suatu ketika dahulu dan sekarang pengajar pula, memberikan saya berlainan persepsi mengenai kehidupan. Kini, saya lebih mengetahui susah payah mengajar dan mendidik.

Menjadi guru mencabar bagi saya, yang tidak pernah mendapat praktikal dan amali bagaimana menjadi guru yang cemerlang. Hanya pengalaman mengendalikan program motivasi kepada pelajar yang membantu saya.